Assalalumualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Mahu aku kongsikan artikel ini kepada yang lain yang mana mungkin sudah lupa tentang kisah ini. Kisah yang sangat sedih. Sehingga aku pun menitiskan air mata membaca satu persatu. Kisah saat-saat terakhir Rasulullah S.A.W. Bacalah. Bacalah. Bacalah. Semoga kalian pun mampu merasai apa yang aku rasa.
(Sumber gambar: Google)
Artikel ini disalin tampal dari sini.
Diriwayatkan bahawa surah Al-Maaidah ayat 3 diturunkan sesudah waktu Asar iaitu pada hari Jumaat di Padang Arafah pada musim haji penghabisan (Wada’)
Pada masa itu Rasulullah S.A.W. berada di Padang Arafah di atas unta. Ketika ayat ini diturunkan Rasulullah tidak begitu jelas penerimaan nya, untuk mengingati isi dan makna yang terkandung di dalam ayat tersebut, Baginda bersandar pada unta beliau sambil unta tersebut duduk perlahan-lahan.
Setelah itu turun malaikat Jibrail A.S dan berkata:”Wahai Muhammad, sesungguhnya pada hari ini telah aku sempurnakan urusan agamamu, maka terputuslah apa yang diperintahkan oleh Allah S.W.T. dan demikian juga apa yang terlarang olehNya. Oleh itu kamu kumpulkan para sahabatmu dan beritahu mereka bahawa hari ini adalah hari terakhir aku bertemu dengan kamu.”
Sebaik sahaja malaikat Jibrail A.S pergi maka Rasulullah S.A.W pun berangkat ke Mekah dan terus ke Madinah.
Setelah Rasulullah S.A.W mengumpulkan para sahabat beliau, maka Rasulullah pun menceritakan apa yang telah di beritahu oleh malaikat Jibrail A.S. Apabila para sahabat mendengar hal demikian maka mereka pun gembira sambil berkata:”Agama kita telah sempurna! agama kita telah sempurna!”
Apabila Abu Bakar mendengar keterangan Rasulullah S.A.W. itu, dia tidak dapat menahan kesedihannya maka dia pun kembali ke rumah lalu mengunci pintu dan menangis. Abu Bakar menangis dari pagi hingga ke malam.
Kisah tentang Abu Bakar r.a menangis telah sampai kepada sahabat yang lain, maka berkumpullah para sahabat di hadapan rumah Abu Bakar r.a dan mereka berkata:”Wahai Abu Bakar, apakah yang telah membuat kamu menangis sehingga sebegini sekali keadaan mu? Sepatutnya kamu berasa gembira sebab agama kita telah sempurna.”
Mendengar pertanyaan dari para sahabat maka Abu Bakar r.a pun berkata:” Wahai para sahabatku, kamu semua tidak tahu tentang musibah yang menimpa kamu, tidakkah kamu tahu bahawa apabila sesuatu perkara itu telah sempurna maka akan kelihatan lah kekurangannya. Dengan turunnya ayat tersebut bahawa ianya menunjukkan perpisahan kita dengan Rasulullah S.A.W. Hasan dan Husin menjadi yatim dan para isteri Nabi menjadi janda.”



